Tuanku Zara seru graduan jayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

"TAHNIAH WARGA GRADUAN UVIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS"



TANJUNG MALIM 10 Sept. - Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim menyeru para graduan merealisasikan kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bagi memacu kemajuan pendidikan tanah air.
Baginda yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah, transformasi pendidikan yang ditegaskan kepemimpinan negara amat relevan sekali gus memerlukan tindakan serta keupayaan pelaksanaan bagi menjayakannya.

"Para graduan berperanan penting merealisasikan kejayaan pelan-pelan tersebut. Terapkan idealisme yang diimpikan dalam gerak kerja ketika melaksanakan tugas setelah berada di luar kampus.

"Jadilah insan kamil yang mengagungkan kebesaran penciptanya. Jadilah warga yang menyanjung semangat kesetiaan kepada raja dan negaranya.

"Jadilah insan budiman, mensejahterakan masyarakat melalui lidah bicara dan hemah tindakan seorang pendidik," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam sidang pembukaan Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-15 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalananthan dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa.

Sebanyak 6,541 graduan dianugerahkan ijazah dan diploma dalam sesi konvokesyen kali ini melibatkan 23 pemegang doktor falsafah (PhD), sarjana (790), ijazah sarjana muda (2,882) dan diploma (2,756).
Sesi konvokesyen UPSI kali ini mencatatkan peningkatan sebanyak 94 peratus bilangan graduan berbanding 3,322 pada tahun lalu.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Zara turut berkenan melantik Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Dr. Zakri Abdul Hamid sebagai Pro-Canselor UPSI yang baharu.
Selain itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Sejarah, masing-masing kepada Tan Sri Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Tan Sri Omar Mohd. Hashim.

Dalam pada itu, Tuanku Zara turut menyeru para graduan supaya menghayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Negara yang mentafsir pendidikan sebagai usaha berterusan memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan seimbang.

Selain itu, baginda turut menyarankan para graduan menyemai hasrat melanjutkan pengajian di peringkat ijazah lanjutan kerana usaha menimba ilmu tidak seharusnya terhenti setelah berjaya menggenggam segulung ijazah.

"Budaya intelek hendaklah sentiasa disemarakkan dalam diri graduan. Seorang pendidik tidak boleh memisahkan diri daripada rasa cinta terhadap ilmu.
"Jadilah seorang pendidik dihormati yang mengamalkan sifat budaya intelek; mencermin diri sebagai insan berilmu, bertenaga dan berupaya mengharungi cabaran serta evolusi dunia pendidikan," titah baginda.




Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130911/wu_02/Tuanku-Zara-seru-graduan-jayakan-Pelan-Pembangunan-Pendidikan-Malaysia#ixzz2eYu32XgV 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Labels: ,